Monday, November 28, 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433H


Baginya (setiap manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran di depan dan di belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.

Kisah Hijrah Nabi Muhammad S.A.W.

RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. 

Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah.

Satu hari pada tahun 622SM, iaitu kira-kira 12 selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam.

Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya.

Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW). Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu. 

Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. 

Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu.

Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah.

Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah. Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT.


Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW). Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal.

Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan.

Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu. Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah.

Maka pada satu hari Jumaat yang ceria, Rasulullah (SAW) akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Kaum Muslim semua keluar untuk menyambut baginda. Rasulullah (SAW) menunaikan solat di sebuah masjid di Lembah Ranuqna, tempat semua umat Islam berkumpul untuk melihat kelibat lelaki mereka sanjungi itu.

Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan peristiwa bersejarah ini sebagai permulaan kalendar Islam.

Sumber: http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Muharam.html

Sunday, November 6, 2011

Selamat Hari Raya Aidiladha

AIDILADHA yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji. 
Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.

Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." 
Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.

Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)


Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)
Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan agama. Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan televisyen dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin dilupakan.

Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah. Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat korban. 
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha buat semua muslimin muslimat di seluruh dunia. Semoga pengorbanan kita pada tahun ini lebihbaik daripada sebelumnya, insyaAllah =)
 
Sumber: http://terataksejarah.blogspot.com