Sunday, November 6, 2011

Selamat Hari Raya Aidiladha

AIDILADHA yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji. 
Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.

Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." 
Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.

Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)


Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)
Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan agama. Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan televisyen dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin dilupakan.

Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah. Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat korban. 
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha buat semua muslimin muslimat di seluruh dunia. Semoga pengorbanan kita pada tahun ini lebihbaik daripada sebelumnya, insyaAllah =)
 
Sumber: http://terataksejarah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment